Thursday, April 14, 2011

300,000 pengundi muda penentu perubahan di Sarawak

SARAWAK: Seramai 300,000 pengundi muda berdaftar bakal menjadi penentu kepada perubahan di negeri itu sekiranya mereka memilih mengundi calon Pakatan Rakyat dalam Pilihan Raya Kecil Negeri Sarawak esok, kata Pengarah Biro Mahasiswa Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Mohd Saifullah Zulkifli.
Saifullah berkata, langkah ini perlu kerana generasi muda Sarawak yang berhadapan dengan pelbagai belenggu dan isu
hanya akan dapat diselesaikan melalui proses demokrasi.
“Mereka telah matang dalam menilai sosio-politik di Sarawak. Permasalahan yang membelengu mereka akan dapat diatasi bila mereka berani melakukan perubahan secara politik yang bakal menentukan dasar baru Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Saifullah, masalah pendidikan seperti, keuzuran kemudahan sekolah, kekurangan universiti tempatan dan
kekurangan peluang pekerjaan adalah masalah utama generasi muda Sarawak.
“Kemudahan asas sekolah sangat teruk dan tidak mencukupi untuk proses pengajaran dan pembelajaran. Faktor ini menyebabkan keciciran ilmu di kalangan generasi muda Sarawak.
“Golongan muda yang ingin menyambung pengajian tinggi terpaksa merantau ke Semenanjung kerana kekurangan tempat untuk menyambung pengajian di Sarawak selain Universiti Malaysia Sarawak dan UiTM,” katanya.
Menurut Saifullah, 200,000 generasi muda direkodkan berhijrah ke Semenanjung akibat keciciran pendidikan dan politik sempit Barisan Nasional yang membuatkan mereka ini sukar mendapat pekerjaan.
“Malah 48 peratus daripada golongan pekerja Sarawak berpendapatan RM750 dan ke bawah. Maka adalah mustahil untuk generasi muda dapat hidup dengan hanya bergaji seperti ini,” tambahnya.
Justeru, Saifullah yang juga Penolong Setiausaha AMK memberi jaminan bahawa Pakatan Rakyat melalui manifesto dan
Buku Jingga akan memperbaiki pentadbiran Sarawak.
“PR memberi jaminan di dalam manifesto pilihan raya negeri dan Buku Jingga untuk memperbaiki tatakelola pentadbiran negeri agar hasil negeri diagihkan kepada rakyat secara adil,” kata Saifullah.

Calon BN didakwa tembak setiausaha sendiri

KUALA LUMPUR: Calon BN DUN Bukit Begunan, Mong Dagang didakwa melepaskan tembakan senjata api kepada individu yang dipercayai pegawainya sendiri.
Perkara itu disahkan Polis Daerah Sri Aman yang menerima laporan kejadian tersebut, lapor media.
Pihak polis bagaimanapun tidak menjelaskan samada tembakan itu disengajakan atau tidak.
“Kita siasat bawah Akta Senjata Api. Lepas siasat, kita akan serah laporan pada pihak atasan,” kata Ketua Polis Daerah Sri Aman ASP Mat Jusoh Muhamad kepada Malaysiakini.
“Jika dibuat secara sengaja, ada unsur jenayahlah. Tetapi perkara ini masih dalam siasatan dan saksi-saksi akan dipanggil (membantu siasatan),” katanya.
Menurut Mat Jusoh, pihaknya menerima aduan berhubung insiden tersebut yang berlaku pada minggu lalu.
Perkara itu dihebahkan ADUN Jelutong, Jeff Oii melalui laman twitternya pagi ini.
“Dengar-dengar calon BN N26 Bukit Begunan lepaskan tembakan dan cederakan setiausahanya. Boleh sahkan perkara ini? (Ada) risiko dikeluarkan kelayakan (bertanding),” tulisnya.
Adalah mengejutkan kerana pihak polis dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) merahsiakan insiden tersebut yang berlaku pada minggu lalu.
Keadilandaily.com sedang mendapatkan reaksi pimpinan Pakatan Rakyat berhubung kes berkenaan.

Pakatan yakin nafi 2/3 majoriti BN- Anwar

KUCHING: Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Pakatan Rakyat yakin dapat menafikan majoriti dua pertiga Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak yang bakal berlangsung kurang 24 jam dari sekarang.
Dalam sidang media terakhir beliau sebelum hari pengundian esok, Anwar berkata, keyakinan itu berlandaskan perkembangan melalui respon rakyat sepanjang tempohnya berkempen selama 13 hari di sini.
“Kita optimis dapat menafikan majoriti dua pertiga Barisan Nasional, bahkan harapan kita adalah lebih dari itu, iaitu mahu menubuhkan kerajaan di Sarawak.
“Ia tidak mudah, kerana pilihan raya ini tidak dijalankan dengan bebas dan adil. Keprihatinan kami adalah berdasarkan perkembangan beberapa jam mulai sekarang,”
katanya pada sidang media di Hotel Grand Continental, pagi tadi.
Anwar menegaskan, Pakatan Rakyat sebenarnya bukan berhadapan dengan Barisan Nasional, tetapi jentera kerajaan yang ditunggangi Barisan Nasional.
“Barisan Nasional tiada wibawa, sehinggakan ketika mereka menganjurkan program pun, terpaksa menggunakan kapasiti sebagai jawatan Menteri.
“Jika mereka duduk di atas nama Barisan Nasional, ia tidak mendapat sambutan,” kata Anwar.
Dalam pada itu, Anwar berkata, usaha pihak tertentu yang melakukan rekayasa di media menjelang tidak lebih 24 jam dari tarikh pengundian merupakan percubaan untuk mengalihkan pandangan rakyat Sarawak daripada melakukan perubahan.
“Fokus sekarang ini adalah rakyat mahu tentukan pemilihan kepimpinan di Sarawak. Jangan benarkan sesiapa alih pandangan. Lusa boleh bincang tentang Anwar.
“…Nak bincang boleh. 17 haribulan boleh teruskan serangan seperti biasa terhadap Anwar,” kata Anwar.
Turut hadir dalam sidang media tersebut ialah Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Presiden, Mohamed Azmin Ali dan Setiausaha Agung KEADILAN, Saifuddin Nasution Ismail.

Ambiga, Pengerusi Bersih dihalang masuk Sarawak

KUALA LUMPUR: Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Ambiga Sreenivasan, dihalang daripada memasuki Sarawak.
Ambiga, yang juga merupakan bekas Presiden Majlis Peguam memberitahu perkara itu  melalui laman Twitter-nya pagi ini.
"Saya berasa sedih dan marah kerana dihalang memasuki negara sendiri tanpa diberikan alasan yang kukuh," kata Ambiga.
Selain Ambiga, beberapa aktivis politik lain juga turut dihalang memasuki Sarawak akhir-akhir ini. Mereka adalah pensyarah politik dan juga jurucakap Bersih, Wong Chin Huat: dan penulis blog politik, Haris Ibrahim.

KeadilanDaily.blogspot.com laman alternatif KeadilanDaily.com

KUALA LUMPUR: KeadilanDaily.blogspot.com adalah laman alternatif kepada KeadilanDaily.com