Thursday, April 14, 2011

300,000 pengundi muda penentu perubahan di Sarawak

SARAWAK: Seramai 300,000 pengundi muda berdaftar bakal menjadi penentu kepada perubahan di negeri itu sekiranya mereka memilih mengundi calon Pakatan Rakyat dalam Pilihan Raya Kecil Negeri Sarawak esok, kata Pengarah Biro Mahasiswa Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Mohd Saifullah Zulkifli.
Saifullah berkata, langkah ini perlu kerana generasi muda Sarawak yang berhadapan dengan pelbagai belenggu dan isu
hanya akan dapat diselesaikan melalui proses demokrasi.
“Mereka telah matang dalam menilai sosio-politik di Sarawak. Permasalahan yang membelengu mereka akan dapat diatasi bila mereka berani melakukan perubahan secara politik yang bakal menentukan dasar baru Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Saifullah, masalah pendidikan seperti, keuzuran kemudahan sekolah, kekurangan universiti tempatan dan
kekurangan peluang pekerjaan adalah masalah utama generasi muda Sarawak.
“Kemudahan asas sekolah sangat teruk dan tidak mencukupi untuk proses pengajaran dan pembelajaran. Faktor ini menyebabkan keciciran ilmu di kalangan generasi muda Sarawak.
“Golongan muda yang ingin menyambung pengajian tinggi terpaksa merantau ke Semenanjung kerana kekurangan tempat untuk menyambung pengajian di Sarawak selain Universiti Malaysia Sarawak dan UiTM,” katanya.
Menurut Saifullah, 200,000 generasi muda direkodkan berhijrah ke Semenanjung akibat keciciran pendidikan dan politik sempit Barisan Nasional yang membuatkan mereka ini sukar mendapat pekerjaan.
“Malah 48 peratus daripada golongan pekerja Sarawak berpendapatan RM750 dan ke bawah. Maka adalah mustahil untuk generasi muda dapat hidup dengan hanya bergaji seperti ini,” tambahnya.
Justeru, Saifullah yang juga Penolong Setiausaha AMK memberi jaminan bahawa Pakatan Rakyat melalui manifesto dan
Buku Jingga akan memperbaiki pentadbiran Sarawak.
“PR memberi jaminan di dalam manifesto pilihan raya negeri dan Buku Jingga untuk memperbaiki tatakelola pentadbiran negeri agar hasil negeri diagihkan kepada rakyat secara adil,” kata Saifullah.

No comments:

Post a Comment